Selasa, 4 Disember 2018

TIPS MENGUATKAN ROHANI

          Rohani merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan roh. Maksud yang lebih luasnya ialah semangat dalaman diri yang ada pada semua jirim di dunia. Rohani selalu dikaitkan dengan perasaan dalaman manusia yang melibatkan emosi kendiri. Rohani setiap seorang daripada kita diibaratkan sebagai raja dalam diri. Dia akan menentukan sama ada seseorang itu baik mahupun buruk. Terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging itu, akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati" (HR al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat mengetahui betapa pentingnya peranan roh. Dialah yang menggerakkan jasad dan fizikal kita. Jika rohani seseorang itu lemah, maka lemahlah jasmaninya kerana kedua-dua elemen ini saling berkait. Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani.

Jadi, perlulah kita ketahui cara untuk menguatkan rohani agar kita menjadi seorang muslim yang cemerlang. Pada post kali ini saya kemukakan 5 cara untuk menguatkan rohani sekali gus memantapkan jasmani.



1. Melazimi Solat Berjemaah

Kita sedia maklum bahawa solat merupakan tiang agama dan ianya merupakan rukun Islam yang ke-2. Apabila kita melazimi solat berjemaah pula kita akan dinaikkan dengan 27 kali darjat. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW, yang bermaksud:

“Sembahyang berjemaah adalah lebih utama (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat”. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Setiap Muslim wajib menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Jadi alangkah lebih baik jika setiap muslim itu solat berjemaah. Di samping muslim tersebut diberikan pahala yang berlipat kali ganda dari solat bersendirian, ia juga dapat menguatkan rohani. Sebenarnya, jika seorang muslim membuat kebaikan secara berjemaah atau berpasukan, semangat yang datang dari dalam dirinya itu lain. Itulah dia kekuatan rohani atau dalam erti kata lain, semangat yang lahir dari dalaman seseorang.



2. Bacaan al-Ma’thurat

Al-Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW. Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Wirid, doa, zikir dan istighfar yang terdapat dalam al-Ma’thurat, jika dibaca secara konsisten dan istiqamah, ianya akan memantapkan jiwa dan mendidik hati agar sentiasa merindui Allah SWT. Selain itu, ia juga akan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani kepada diri seseorang.

Bacaan al-Ma'thurat boleh dilakukan pada dua ketika iaitu waktu pagi (selepas subuh) dan waktu petang (selepas asar / maghrib). Seandainya seseorang itu terlepas untuk membacanya ketika pagi, bolehlah dia membacanya ketika petang. Namun, jika kita mempunyai waktu lapang pada dua waktu tersebut, seeloknya kita guna ruang tersebut untuk membaca al-Ma'thurat.

Jika manusia mengetahui kelebihan al-Ma'thurat ini, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba untuk membacanya. Hal ini kerana, kelebihan utama bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan sunnah Rasulullah ini ialah mereka akan diberikan perlindungan secara menyeluruh daripada Allah SWT dari segala bala dan kejahatan makhlukNya iaitu manusia dan syaitan. Sungguh bertuahlah bagi sesiapa yang kerap membaca al-Ma’thurat dua kali sehari. Hal ini diibaratkan sebagai pelaburan paling bernilai kerana beberapa minit bacaan al-Ma'thurat disamaertikan dengan pelindungan dari-Nya selama beberapa jam dengan izin Allah.

Moga kita semua diberi kekuatan untuk istiqomah dalam mengamalkan sunnah Rasulullah SAW yang satu ini.



3. Bersahabat dengan rakan yang mendekatkan kita kepada Allah

Jika kita ingin berubah menjadi lebih baik, seharusnya kita mencari kawan dan para solihin untuk berdampingan dengan kita. Dengan itu, mereka akan sentiasa mengajak dan membimbing kita untuk menjadi seorang yang lebih baik.

Terdapat satu hadis masyhur tentang pengaruh seorang kawan terhadap diri kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap". (HR al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, sudah jelas diketahui betapa pentingnya pengaruh seorang kawan terhadap diri kita. Satu nikmat bila kita berkawan dengan orang alim, akal dan tindakan kita akan sentiasa dijaga oleh Allah dari melakukan maksiat. Sebab apa? Kita bayangkan.. Jika kita duduk dengan ahli maksiat, maka akal dan tindakan kita akan turut terikut untuk melakukan maksiat. Namun, lain pula jika kita duduk bersama ahli ibadat. Setiap masa kita tidak akan disia-siakan. Rohani dan jasmani kita akan sentiasa bersemangat untuk mendekati jalan Islam yang sebenar. Itulah sebenarnya matlamat dan cara hidup kita. Oleh itu, berdampinganlah dengan sahabat-sahabat yang soleh supaya kita boleh menjadi hambaNya yang diredai.



4. Mempraktik Sunnah Rasulullah SAW.

Kekasih kita, Nabi Muhammad SAW ada meninggalkan khazanah yang bermakna selepas al-Quran iaitu Sunnah baginda nabi. Nabi bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW." (HR Imam Malik)

Dengan mengikuti sunnah nabi, kita dapat menguatkan dalaman diri, malah kesihatan kita turut akan terjamin. Bukan hanya dengan pergi ke gimnasium badan kita akan berasa sihat. Sebenarnya benda seharian yang kita lakukan pon sudah cukup untuk membuatkan kita sihat rohani dan jasmani. Salah satu caranya adalah dengan melakukan amal ibadat seharian dengan sempurna. Berapa ramai sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat gagah memperjuangkan islam? Sedangkan mereka tidak pergi ke gimnasium untuk menyihatkan badan. Cukup sekadar melakukan ibadat seharian dan mengikuti sunnah nabi. Itu pon sudah cukup untuk mereka menjadi seorang hamba yang hebat dan dijamin syurga. Maka, bersungguh-sungguhlah kita dalam melakukan amal ibadat dan sunnah Rasulullah dengan istiqomah.



5. Mengingati Allah setiap masa.

Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

"Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram." (al-Ra'du : 28)
Maka ingatlah Allah setiap masa. Allah telah menciptakan setiap hambanya dengan sangat unik. Manusia secara semula jadinya, akan sentiasa mencari pencipta. Orang bukan Islam juga merasakan hal yang sama. Namun, mereka sedikit tidak beruntung kerana mereka menyembah tuhan yang tidak wujud. Sebenarnya di saat mereka bersendirian, mereka akan merindui tuhan.. Tetapi disebabkan mereka tidak dilahirkan dalam Islam, maka mereka tidak mengenali Tuhan yang satu iaitu Allah SWT. Betapa beruntungnya orang Islam kerana dilahirkan sebagai seorang muslim. Kita sentiasa diberikan ganjaran pahala dalam setiap perbuatan baik kita.. Kita secara dasarnya akan dijamin syurga. Namun, orang kafir tidak begitu … Besar sungguh nikmat yang diberikan kepada umat Islam daripada hasil perjuangan nabi serta rahmat daripada Allah SWT itu sendiri.

Pada waktu kita senang mahupun susah. Bacalah al-Quran dan bersujudlah kepada pencipta kita iaitu Allah SWT. InsyaAllah, hati kita akan sentiasa kuat untuk menempuh hari-hari mendatang. Kita sebagai seorang hamba, setiap masa kita akan diuji. Bukan hanya pada waktu susah sahaja. Pada waktu senang juga kita akan diuji.. Jadi, dalaman manusia akan cepat kecundang. Maka berbaliklah kepada Allah SWT.. Allah SWT lah sumber utama kekuatan kita .. Bergantung haraplah kepada Allah bukan pada manusia kerana manusia ini tidak kekal. Allah hanya meminjamkan kita sekejap sahaja orang sekeliling kita. Oleh itu, ingatlah Allah sentiasa agar setiap perkara yang kita lakukan akan menguatkan rohani dan jasmani kita sendiri. Ingatlah bahawa Allah sentiasa ada untuk setiap hambaNya. Cuma manusia sahaja yang mencariNya ketika susah. Allah... Semoga kita mengubah tabiat sebegitu dari terpaut di hati kita.



Kesimpulannya


Banyak sebenarnya cara yang boleh menguatkan rohani kita.. Maka, jangan dibiarkan ianya semakin melemah. Semakin hari semakin banyak masalah sosial yang berlaku. Kerana apa? Sudah tentu kerana dalaman mereka yang lemah. Jadi, janganlah kita memandang enteng terhadap isu ini. Bersama-samalah kita menguatkan rohani agar masalah sosial semakin berkurangan terutama dalam kalangan remaja.
Image result for kekuatan rohani
Mendekatkan diri kepada Allah dapat menguatkan kekuatan rohani.

SUMBER

  • http://agamaberitaharian.blogspot.com/2009/03/keseimbangan-rohani-jasmani-bentuk.html
  • https://www.facebook.com/ustazhasnankasan/posts/bersahabatlah-dengan-penjual-minyak-wangi-bukan-tukang-besitelah-menceritakan-ke/1499777236728266/
  • https://tzkrh.com/5-cara-menguatkan-diri-secara-rohani/

1 ulasan:

  1. Sudah singgah untuk membaca.. semoga diteruskan usaha yg baik

    BalasPadam